Wednesday 30 December 2015

KENAL TAK?



Entri 1
Teks: Neng Narashimah Ja'afar
Foto: Ihsan Google


Lama betul saya berfikir. Bagaimana harus saya mula? Benarlah kata bijak pandai; persoalan yang paling sukar dijawab adalah "Siapakah saya?". Hmmm..... Mungkin saya boleh mula di sini, seperti berikut:

Nama saya Neng Narashimah Ja'afar.
Saya seringkali meninggalkan 'binti' kerana bagi saya kalimah itu hanya akan memanjangkan lagi nama saya yang sudah sedia panjang. Saya juga sering memperkenalkan diri saya sebagai 'Neng Ja'afar'; supaya kedengaran lebih pendek. Namun, rakan-rakan yang mengenali diri saya lebih mengingati nama saya sebagai nama yang panjang; mungkin kerana ianya agak pelik dan mudah diingat. Hanya saya saja yang merasakan pendengar sukar menyebut dan mengingat nama saya. Dan sesungguhnya Allah sahaja lah yang Maha Mengetahui

Saya adalah seorang pemegang Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Ijazah Sarjana Sains Perpustakaan dan Maklumat. Kini sedang berkhidmat sebagai seorang Pustakawan. Namun sebagai seorang isteri dan ibu kepada 4 orang cahayamata; saya tetap bercita-cita untuk menjadi seorang 'suri' yang tinggal dan berkhidmat di 'rumah'nya secara 'sepenuh masa'. Saya kira 'profesion' inilah yang paling 'sesuai' , 'layak', malah pasti juga yang paling 'barakah' bagi seorang wanita, apatah lagi bagi yang berstatus 'suri'.

Saya suka membaca. Apa saja bahan bacaan dan apa saja genre yang ada. Alhamdulillah, saya boleh membaca dalam 3 bahasa; Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Saya juga boleh menulis dalam ketiga-tiga bahasa tersebut walaupun dalam peringkat kemahiran yang berbeza. Oleh itu, saya punya lebih banyak pilihan bahan bacaan. Suatu masa dulu, ibu pernah melarang menggunakan kertas suratkhabar untuk dijadikan alas menghidang makanan. Ini kerana saya kerap leka dan menghabiskan masa makan saya dengan membaca. Akibatnya, masa makan saya menjadi lebih panjang, saya tidak berinteraksi dengan ahli keluarga yang lain dan tenggelam dalam dunia saya.  Saya menggemari bahan bacaan berbahasa Inggeris. Mungkin kerana ianya lebih 'direct' dan 'straight to the point'. Saya juga sukakan keindahan Bahasa Arab yang lebih 'kaya' gaya bahasanya dan lebih jelas serta 'ta'kid' dalam menggambarkan maksud seseorang penulis. Namun, saya lebih selesa dengan bahan bacaan Bahasa Melayu yang lebih indah, lembut, berhalus serta puitis gaya bahasa dan penyampaiannya.

Setakat itu sahaja. Saya berasa sangat sukar untuk meneruskannya. Saya juga sukar mengolahnya.
...

Setelah saya memaksa diri saya untuk mula menulis, baru saya sedar. Saya sebenarnya tidak yakin untuk memperkenalkan diri sendiri. Ini kerana saya berasa kurang selesa apabila ada terlalu banyak 'saya' dalam entri ini.  Malah 'saya' yang sedang saya tulis ini rupanya agak asing bagi diri saya sendiri. Mungkin kerana saya tidak pernah memberikan fokus kepada 'saya'. Saya, sebagai seorang manusia yang lemah; lebih suka, cenderung dan kerap memberi fokus saya kepada orang lain dan personaliti mereka sehingga saya lupa untuk memberi fokus dan melihat diri dan personaliti saya sendiri.

Ustaz saya dulu pernah berkata; "Kenali Pencipta kita untuk mengenali diri kita". Maksudnya? Ya.
Maksudnya saya belum cukup mengenali Pencipta saya, kerana itu saya masih belum mengenali diri saya. Apabila saya tidak mengenali diri saya, maka saya sukar dan tidak yakin untuk memperkenalkan diri saya yang cukup hina dan dhaif di mata Sang Pencipta. Maha Suci Allah yang Maha Mencipta.

Segala Puji bagi Allah, Pencipta Sekelian Alam. Ini adalah permulaan yang baik untuk diri saya. Saya noktah dulu.