Showing posts with label motivasi diri. Show all posts
Showing posts with label motivasi diri. Show all posts

Wednesday, 24 February 2016

BERMUSAFIRLAH!

Entri 9


Teks : Neng Narashimah binti Ja'afar
Foto : Ihsan Redstilletto Camper


Salam Sejahtera!


"Berjalan.... Bermusafirlah.... Melihat keagungan Allah
  Meninjau... Menelitilah rahsia ciptaan Allah"

"Berbekal keimanan, petunjuk di sepanjang jalan
  Mengharap keredhaan, doa menjadi kelaziman"

Berkumandang nasyid dari kumpulan Nada Murni, yang pada satu ketika dulu sangat dikenali. Suara dari Shoutul Islam, Allahyarhamhu Ustaz Asri, kedengaran mendayu-dayu.

Islam sangat menggalakkan umatnya bermusafir. Bermusafir dapat meningkatkan keimanan kepada Allah Yang Maha Berkuasa, Pencipta Sekalian Alam Semesta. Allah berfirman yang terjemahannya berbunyi;

"Katakanlah (Muhammad), "Jelajahilah bumi, kemudian perhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan itu.'' - Surah Al-An-'am 6:11

Dalam ilmu Tauhid, terdapat dua jenis dalil akan kewujudan dan kekuasaan Allah; iaitu Dalil Naqli i.e dalil dari Kalam Allah, yang disebutkan di dalam Al-Qur'an, dan Dalil 'Aqli i.e dalil yang kita dapat dari akal fikiran melalui pancaindera yang menyaksikan kebesaran dan kekuasaan Allah swt dalam penciptaan langit, bumi dan seluruh cakerawala, sama ada yang mampu kita lihat dengan mata kasar atau sebaliknya. Dalil 'Aqli digunakan untuk menyokong dan perlu disandarkan kepada Dalil Naqli. Allah swt telah menyebutnya di dalam Al-Qur'an;

"Maka tidak pernahkah mereka berjalan di bumi, sehingga hati (akal) mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dada" - Surah Al-Hajj 22:46

Banyak manfaat yang boleh didapati dari bermusafir; bagi orang-orang yang berfikir. Buka mata untuk melihat, buka pendengaran untuk mendengar, buka minda untuk berfikir dan buka hati untuk menikmati.

"Marilah bermusafir, laksanakan tuntutan jiwa
 Bermusafir... Berkelana.... Luaskan pandangan saujana

 Bermusafir... Berkelana... Kenallah Tuhan Maha Pencipta, Allahu Rabbi..."

Semoga kita selalu, diberi peluang untuk bermusafir agar dapat menambah keimanan kita terhadap Sang Pencipta dan bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan kepada kita, selagi mana kita masih diberi pinjam nafas ini. Dengan itu, saya noktah dulu.

*******************************************************


Travel bajet bersama kami, "Camping with Style", semua orang mampu untuk HOLIDAY di luar negara dengan RedSTILETTO Camper. Trip Motorhome MURAH untuk pengalaman bertaraf 5-Bintang!

✅ MURAH! MURAH! MURAH!
✅ Kami sediakan 'Powered Campsite'
✅ Trip Motorhome atau Caravan
✅ Boleh Installment

FREE QUOTATION

Contact kami untuk sebarang pertanyaan;
PM/ Whatsapp/ Telegram : NENG 0197744119
FB page : Redstiletto Camper (www.facebook.com/redstilettocamper)
IG @RedStilettocamper
Emel : camper@redstilettogroup.com
Website : www.Redstilettogroup.com


Saturday, 20 February 2016

PULANGLAH.... DENGAN HATI YANG REDHA

Entri 8

Teks : Neng Narashimah binti Ja'afar
Foto : Ihsan Yasmin Mogahed


Salam Sejahtera!

Dalam entri yang lepas saya bercerita berkenaan 'pulang'. Kemudian, selang sehari mendapat berita dari seorang sahabat berkenaan anak-anak jirannya yang tidak dapat dihubungi setelah sekitar dua jam memulakan perjalanan ke Terengganu pada 10 Februari 2016 lepas, telah dijumpai meninggal dunia kesemuanya dalam satu kemalangan maut. Kereta yang dinaiki mendapat kemalangan dan terbabas masuk di sungai. Mungkin kerana itulah semua telefon tidak dapat dihubungi secara serentak. Maka, mereka 'pulang' ke kampung halaman yang pasti, iaitu Akhirat Negeri Abadi, bertemu Ilahi Rabbi. Giliran kita juga pasti tiba, walaupun kita tidak pasti bila, di mana dan bagaimana pengakhiran persinggahan kita di kehidupan dunia ini.

Perjalanan kita sebagai seorang musafir masih panjang. Ketika ini, kita hanya berhenti sebentar di bawah sepohon pokok untuk melepaskan lelah. Kelak bila tiba masa, kita akan meneruskan perjalanan kita ke alam Barzakh dan seterusnya menanti lagi sehingga datangnya alam Akhirat, negeri yang abadi. Banyak persiapan yang perlu kita persiapkan agar tidak menyesal di kemudian hari, di mana penyesalan itu tidak akan berkesudahan. Na'uzu billah min zalik!

Sebelum saya noktah, saya kongsikan kata-kata indah Yasmin Mogahed, seorang kolumnis yang terkenal. Semoga menjadi inspirasi. In-sya Allah.

"There are many pieces that make up our lives: Moments that breaks us. Moments that raise and shape us. Decisions we make to hold on. Or let go. People who enter our lives and leaves us changed forever. The ones we love, the ones that hurt us, or heal us, or leave us. Sometimes we don't understand these pieces - or even despair over them. It's only when time goes by and we look back, that we suddenly can see our whole life like a perfectly designed puzzle. Don't be afraid of the puzzle piece you're in now. It will fit perfectly... just like the rest. How could it not? The Designer is perfect" ~ Yasmin Mogahed






Sunday, 14 February 2016

PULANG: DULU DAN SEKARANG

Entri 7

Teks : Neng Narashimah binti Ja'afar
Foto : Ihsan TBS


Selamat Sejahtera!

Cuti perayaan Tahun Baru Cina baru saja berakhir. Anak-anak juga telah memulakan sessi persekolahan masing-masing mulai Ahad ini (bagi negeri-negeri Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah) dan Isnin (bagi negeri-negeri selain yang dinyatakan sebelum ini). Ibu bapa sibuk membuat urusan penghantaran anak-anak pulang ke asrama dan kolej / universiti; sama ada hari Sabtu atau pun Ahad. Ada yang mengambil cuti atau meluangkan masa untuk menghantar sendiri, pulang dengan memandu sendiri (bagi yang bergelar siswa/i) dan tidak kurang juga yang menggunakan pengangkutan awam; bas, keretapi mahu pun kapal terbang.

Perkhidmatan membeli tiket online, seperti BusOnlineTicket.com dan easybook.com tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Beli tiket online biasanya ada diskaun dan ada banyak pilihan. Pilih jenis kenderaan dan tempat duduk, harga tiket dibayar secara online. Kemudian, hadir ke kaunter pada hari berangkat ke destinasi bagi tujuan mendapatkan tiket bercetak dari pengusaha bas ekspress atau lain-lain pengusaha pengangkutan. Mudah saja.

Berbeza dengan zaman ketika saya bergelar siswa pada tahun-tahun akhir 80an dan awal 90an. Pada waktu ini hanya yang mampu saja akan menaiki pesawat udara. Kalau nak balik ke Pantai Timur; perlu beratur  panjang di Hentian Putra. Jadi kena tolong menolong; bagi yang tak ada kelas atau kuliah akan datang seawal subuh untuk mula beratur, kemudian beralih pula kepada rakan yang ada waktu senggang antara kuliah dan pasangan pertama beratur akan pulang dan hadir kuliah. Begitulah seterusnya sehinggalah tiket berjaya dibeli. Kuliah tak tuang dan tiket dapat; boleh pulang melepaskan rindu pada keluarga. Ibu bapa tak ambil pusing cara mana kita nak balik, yang pasti sampai masa yang dijanjikan; sampailah kita di hadapan pintu rumah. Sekarang sudah banyak mudahnya. Alhamdulillah.

Saya berkahwin ketika masih dalam pengajian. Suami tinggal di Johor Bahru. Hampir setiap minggu saya menggunakan perkhidmatan bas ekspress dari Hentian Puduraya. Balik pada hari Jumaat malam dan pulang semula untuk kuliah pada subuh Isnin. Biasanya bas sampai dari Johor Bahru - Kuala Lumpur pada jam 4.30 pagi. Sebaik sampai di Puduraya, beli akhbar dan bentang di tepi-tepi kedai yang masih belum beroperasi; tumpang melelapkan mata. Sekitar jam 5.30 pagi, saya akan mula bergerak ke Perhentian Bas Kelang (yang tidak pun berada di Klang), menunggu bas mini menuju ke universiti. Ini menjadi rutin saya sehinggalah saya berbadan dua. Susah tapi indah... Subhanallah.

Kini kedua-dua Hentian Bas Puduraya dan Hentian Bas Putra tidak lagi beroperasi sebagai hentian bas antara negeri. Malah semua perkhidmatan pengangkutan awam bagi perjalanan jarak jauh atau antara negeri beroperasi di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) yang mempunyai kemudahan yang lebih moden, teratur dan sistematik bagi menjanjikan keselesaan. Merujuk kepada Laman Web TBS;  Terminal ini dibuka kepada orang ramai pada 1 Januari 2011 dengan rangkaian perkhidmatan awam KLIA Transit, KTM Komuter dan LRT RapidKL, hab pengangkutan awam berintegrasi yang pertama di Kuala Lumpur. Terminal Bersepadu Selatan juga merupakan sebahagian daripada inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara dalam menambah baik pengangkutan awam bandar yang akan membantu meningkatkan bilangan penumpang pengangkutan awam dengan memudahkan tempahan e-tiket dan sistem pembelian tiket bersepadu (CTS)

Baiklah. Saya noktah di sini dulu. In-sya Allah.


Wednesday, 3 February 2016

BILA TEKANAN DARAH NAIK....

Entri 5

Teks : Neng Narashimah binti Ja'afar
Foto : Ihsan Qalrisy


Salam Sejahtera!

Ya, saya sangat berharap agar anda semua berada dalam keadaan yang sihat sejahtera. Ikhlas dari hati. 

Dua minggu lepas saya berjalan dan bergerak macam robot. Bahu dan tengkuk terasa sangat sakit apabila bergerak. Ketika itu baru saya sedar, walaupun saya tahu, bahawa walau sekecil mana pergerakan kita sebenarnya kita menggerakkan keseluruhan tubuh kita. Gerakan kecil pun membuatkan saya mengerang kesakitan. Subhanallah.

Benarlah sabda Rasulullah saw: "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara; masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum datangnya waktu sempit, masa lapang sebelum datangnya waktu sibuk, masa muda sebelum sampainya waktu tua dan masa hidup sebelum sampainya waktu mati" (Riwayat al-Hakim dan Al-Baihaqi).

Doktor yang biasa memeriksa saya membuat beberapa kali ujian tekanan darah. Mungkin kerana tekanan darah saya selalunya 'cantik' dan beliau ingin benar-benar pasti. Akhirnya beliau bertanya; "Puan stress ke? Suami puan buat hal ke?" Saya dan suami tergelak besar. Rasanya tak ada apa yang berlaku; yang boleh menyebabkan tekanan darah saya naik tinggi sebegitu rupa. Kemungkinan besar adalah asbab pemakanan dan cara hidup saya yang tidak sihat.

Biasanya kami bangun awal pagi untuk menunaikan 'temujanji' dengan Maha Pencipta dan kemudiannya bersiap-siap untuk mulakan hari baru. Keluar rumah waktu gelap hari lagi; sebaik menghantar anak naik bas sekolah, agar tidak sampai merah punch card. Balik kerja mengikut waktu pejabat, menghadapi keadaan trafik yang sesak dan sampai di rumah apabila azan maghrib berkumandang. Bersiap untuk solat dan menyediakan makan malam yang ringkas atau makan saja di luar. Kemudian, solat isya' dan menyediakan persiapan untuk mula hari berikutnya. Itulah rutin harian saya. Setiap hari 'berniat' untuk membuat senaman ringan namun berakhir di atas katil seawal jam 10.30 malam. Hujung minggu pula sibuk mengemas rumah dan membuat lain-lain persiapan untuk minggu yang mendatang, ziarah anak-anak di asrama dan lain-lain tanggungjawab sosial. 

Saya percaya rutin harian saya sama dengan rata-rata ibu-ibu yang bekerja. Malah mungkin juga sama dengan kebanyakan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Ianya sangat tidak sihat. Kita tinggal di kawasan yang jauh dari tempat kita bekerja kerana kosnya lebih rendah. Kita menghabiskan sebahagian besar masa kita di atas jalan dalam tekanan menghadapi kesesakan jalanraya. Kita cenderung makan di luar atau mengambil makanan segera yang berproses kerana perlu cepat menyediakan hidangan. Macam mana tekanan darah tak naik, kan? Astaghfirullah al-'azhim.

Saya noktah di sini dulu.




Wednesday, 13 January 2016

URUS PULA...

ENTRI 4

Teks : Neng Narashimah Ja'afar
Foto : Ihsan Lingkar Komik


Salam Sejahtera!

Minggu lepas saya ke bank untuk menguruskan beberapa keperluan peribadi. Begitulah pada setiap awal tahun. Seboleh mungkin saya dan suami akan sedaya upaya menyelesaikan beberapa keperluan atau pembayaran untuk setahun. Kemudian, peruntukan bulanan bagi keperluan tersebut kami akan kumpul semula; bulan demi bulan. Rutin yang sama; tahun demi tahun. Sering membaca blog-blog yang membincangkan perihal mengurus kewangan dan mengurus hutang, seperti pakdi.net, mohdzulkifli.com, kokotiam.com, dan banyak lagi yang tidak dapat saya senaraikan di sini. Pendek kata, buat saja carian berkenaan pengurusan kewangan dan bebas hutang. Banyak yang anda akan jumpa. In-sya Allah.

Rata-rata mereka mencadangkan perkara yang sama, selain dari mengurus belanja; iaitu usahakan pendapatan sampingan/ pendapatan kedua. Inilah yang menjadi masalah bagi saya; ada terlalu banyak pilihan di pasaran namun saya belum berjumpa lagi yang sesuai di hati. Pencarian masih belum berhenti walaupun kaedahnya sudah dijumpai. Terima kasih Akademi Bekerja di Rumah (ABDR) kerana memberikan saya harapan. Saya noktah dulu.



Wednesday, 6 January 2016

SUSUN DAN SUSUN SEMULA

Entri 3

Teks : Neng Narashimah Ja'afar
Foto : Ihsan Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR)


Salam Sejahtera!

Minggu ini sibuk sekali. Minggu transisi. Minggu di mana kita menyusun jadual kehidupan kita setiap hari bagi tahun 2016 ini; dari celik mata sehingga kita menutupkan mata apabila hari berakhir, dan celik semula; bertemu dengan hari yang baru. Selagi mana Allah mengizinkan kita untuk bertemu dengan hari yang baru. Ma shaa Allah.

Susunan jadual kehidupan yang kita susun di awal tahun ini akan menentukan rutin perjalanan kehidupan kita sehingga tahun 2016 melabuhkan tirainya nanti. Jika minggu-minggu pertama ini kita tidak mula menyusun dengan sebaiknya, maka akan berkelabut, kelam kelibut, haru biru, huru hara rutin perjalanan kehidupan kita sepanjang tahun nanti. Apatah lagi  bagi yang bukan saja menyusun rutin hidupnya sendiri, tetapi rutin suami dan anak-anak juga berada 'di atas batu jemala patik'.

Selain menyusun jadual perjalanan kehidupan yang akhirnya menjadi rutin kehidupan harian kita, kita juga perlulah menyusun belanjawan kita bagi tahun 2016; yang dengarnya sangat mencabar. Semua lapisan masyarakat memperkatakan isu yang sama; harga barang naik, nilai gaji semakin mengecil, keupayaan membeli semakin berkurangan, dan lain-lain. Kaedah yang disarankan oleh pakar ekonomi senang saja; kurangkan belanja atau tambahkan pendapatan Itu saja. Bunyinya mudah tapi pelaksanaannya belum tentu semudah yang didengar.

Yang pertama; kurangkan belanja. Sebelum kita nak kurangkan belanja, kita kenalah senaraikan apakah dan berapakah perbelanjaan kita sedia ada; butiran yang selengkap mungkin. Senaraikan juga keperluan yang bakal kita perlukan. Sebagai contoh; kalau dulu anak belum bersekolah atau masih bersekolah rendah, tapi tahun ini anak tersebut dah bersekolah atau sudah naik ke peringkat menengah, yang menengah akan menyambung pengajian di peringkat universiti, yang dulu kita hantar ke sekolah tapi tahun ini anak tersebut akan naik bas sekolah, atau lain-lain perkara yang kita jangkakan akan melibatkan kos. Senaraikan semuanya. Lebih lengkap lebih bagus.

Kemudian, barulah kita boleh menilai semula perbelanjaan kita; yang mana kita boleh buat sendiri, tidak menggunakannya atau mungkin  menukar jenama. Pendek kata, kita perlu menilai semula perbelanjaan sedia ada kita dan perbelanjaan yang bakal kita perlukan. Proses penilaian semula ini amat memeritkan bagi kita. Secara jujurnya; saya berminggu-minggu merenung senarai yang sama. Hilang arah yang mana perlu dibuang dari senarai dan yang mana lebih penting untuk disenaraikan. Kerapkali senarai perbelanjaan yang bakal diperlukan lebih banyak dari senarai yang boleh dikeluarkan. Namun, tidak boleh tidak; kita tiada pilihan selain dari melalui proses ini saban tahun. Kita perlu menilai semula perbelanjaan kita bukanlah hanya kerana kita perlukan lebih aliran tunai  untuk berbelanja dan meneruskan kelangsungan hidup tetapi kerana kita perlu menabung. Malah beberapa sahabat yang berada dalam bidang ekonomi menyarankan supaya kita menyisihkan pendapatan kita kepada sekurang-kurangnya kepada 6 akaun;

1) Akaun Bebas Hutang       - 10%
2) Akaun Jangka Panjang    - 10%
3) Akaun Keperluan Diri     - 55%
4) Akaun Pendidikan           - 10%
5) Akaun Self-Reward         - 10%
6) Akaun Kebajikan             - 5%

Yang kedua; tambahkan pendapatan. Bahagian yang ini saya memang tidak mahir. Setelah berpuluh-puluh tahun makan gaji, kita akhirnya tidak kreatif untuk mencari kaedah untuk menambah pendapatan. Kerana itulah saya menyertai Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR); sebagai kumpulan sokongan dalam usaha untuk menambah pendapatan. Walau bagaimanapun, saya masih terlalu 'muda' untuk memberikan komen berkenaan Akademi ini. Namun begitu, saya percaya akan keberkesanan kumpulan ini dalam memberi impak positif kepada ahi-ahlinya. Pada saya; formula yang paling penting adalah USAHA. Sesungguhnya Allah lah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tidak kita ketahui. Saya noktah dulu.

Rabbi Yassir wa la Tu'assir, Rabbi Atmim bil Khayr.




Saturday, 2 January 2016

SESSI PERSEKOLAHAN 2016 PUN BERMULA....



Entri 2

Teks : Neng Narashimah Jaafar
Foto : Ihsan Google


Salam Sejahtera!

Sessi persekolahan tahun 2016 bagi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor telah pun bermula hari ini. Semalam masing-masing sibuk membuat persediaan akhir sebelum sessi persekolahan bermula. Ibu bapa juga sibuk menghantar anak-anak pulang ke asrama; bagi yang tinggal di asrama. Alhamdulillah.



Saya menjenguk anak sulung di biliknya; bertanyakan dah siap menyimpan ke? Semua barang yang perlu dibawa dah siap disimpan dalam beg ke? Barang siapa lagi yang masih bersepah? Kenapa tidak dikemaskan? Akhir sekali, pengakuan rasmi dibuat. "Sunyi pulak adik-adik tak ada. Esok abang pula balik ke universiti. Tinggal lah ibu, ayah dan adik. Mesti lebih sunyi dari biasa" Abang hanya tersenyum sumbing. Subhanallah!

Jadi, pagi ni kami ke Terminal Bas untuk menghantar anak saya yang sulung. Adik yang bersekolah rendah dah pun naik bas sekolah jam 6.30 pagi tadi. Petang ni balik dari pejabat; mesti terdengar-dengar suara anak-anak yang kuat bergurau, terpekik-pekik mengusik dan diusik. 68 hari. Dan, saya sudah mula mengira hari untuk cuti sekolah yang akan datang. Moga tahun ini lebih baik dari tahun yang lalu. In-sya Allah. Saya noktah dulu.




Wednesday, 30 December 2015

KENAL TAK?



Entri 1
Teks: Neng Narashimah Ja'afar
Foto: Ihsan Google


Lama betul saya berfikir. Bagaimana harus saya mula? Benarlah kata bijak pandai; persoalan yang paling sukar dijawab adalah "Siapakah saya?". Hmmm..... Mungkin saya boleh mula di sini, seperti berikut:

Nama saya Neng Narashimah Ja'afar.
Saya seringkali meninggalkan 'binti' kerana bagi saya kalimah itu hanya akan memanjangkan lagi nama saya yang sudah sedia panjang. Saya juga sering memperkenalkan diri saya sebagai 'Neng Ja'afar'; supaya kedengaran lebih pendek. Namun, rakan-rakan yang mengenali diri saya lebih mengingati nama saya sebagai nama yang panjang; mungkin kerana ianya agak pelik dan mudah diingat. Hanya saya saja yang merasakan pendengar sukar menyebut dan mengingat nama saya. Dan sesungguhnya Allah sahaja lah yang Maha Mengetahui

Saya adalah seorang pemegang Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Ijazah Sarjana Sains Perpustakaan dan Maklumat. Kini sedang berkhidmat sebagai seorang Pustakawan. Namun sebagai seorang isteri dan ibu kepada 4 orang cahayamata; saya tetap bercita-cita untuk menjadi seorang 'suri' yang tinggal dan berkhidmat di 'rumah'nya secara 'sepenuh masa'. Saya kira 'profesion' inilah yang paling 'sesuai' , 'layak', malah pasti juga yang paling 'barakah' bagi seorang wanita, apatah lagi bagi yang berstatus 'suri'.

Saya suka membaca. Apa saja bahan bacaan dan apa saja genre yang ada. Alhamdulillah, saya boleh membaca dalam 3 bahasa; Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Saya juga boleh menulis dalam ketiga-tiga bahasa tersebut walaupun dalam peringkat kemahiran yang berbeza. Oleh itu, saya punya lebih banyak pilihan bahan bacaan. Suatu masa dulu, ibu pernah melarang menggunakan kertas suratkhabar untuk dijadikan alas menghidang makanan. Ini kerana saya kerap leka dan menghabiskan masa makan saya dengan membaca. Akibatnya, masa makan saya menjadi lebih panjang, saya tidak berinteraksi dengan ahli keluarga yang lain dan tenggelam dalam dunia saya.  Saya menggemari bahan bacaan berbahasa Inggeris. Mungkin kerana ianya lebih 'direct' dan 'straight to the point'. Saya juga sukakan keindahan Bahasa Arab yang lebih 'kaya' gaya bahasanya dan lebih jelas serta 'ta'kid' dalam menggambarkan maksud seseorang penulis. Namun, saya lebih selesa dengan bahan bacaan Bahasa Melayu yang lebih indah, lembut, berhalus serta puitis gaya bahasa dan penyampaiannya.

Setakat itu sahaja. Saya berasa sangat sukar untuk meneruskannya. Saya juga sukar mengolahnya.
...

Setelah saya memaksa diri saya untuk mula menulis, baru saya sedar. Saya sebenarnya tidak yakin untuk memperkenalkan diri sendiri. Ini kerana saya berasa kurang selesa apabila ada terlalu banyak 'saya' dalam entri ini.  Malah 'saya' yang sedang saya tulis ini rupanya agak asing bagi diri saya sendiri. Mungkin kerana saya tidak pernah memberikan fokus kepada 'saya'. Saya, sebagai seorang manusia yang lemah; lebih suka, cenderung dan kerap memberi fokus saya kepada orang lain dan personaliti mereka sehingga saya lupa untuk memberi fokus dan melihat diri dan personaliti saya sendiri.

Ustaz saya dulu pernah berkata; "Kenali Pencipta kita untuk mengenali diri kita". Maksudnya? Ya.
Maksudnya saya belum cukup mengenali Pencipta saya, kerana itu saya masih belum mengenali diri saya. Apabila saya tidak mengenali diri saya, maka saya sukar dan tidak yakin untuk memperkenalkan diri saya yang cukup hina dan dhaif di mata Sang Pencipta. Maha Suci Allah yang Maha Mencipta.

Segala Puji bagi Allah, Pencipta Sekelian Alam. Ini adalah permulaan yang baik untuk diri saya. Saya noktah dulu.