Wednesday 3 February 2016

BILA TEKANAN DARAH NAIK....

Entri 5

Teks : Neng Narashimah binti Ja'afar
Foto : Ihsan Qalrisy


Salam Sejahtera!

Ya, saya sangat berharap agar anda semua berada dalam keadaan yang sihat sejahtera. Ikhlas dari hati. 

Dua minggu lepas saya berjalan dan bergerak macam robot. Bahu dan tengkuk terasa sangat sakit apabila bergerak. Ketika itu baru saya sedar, walaupun saya tahu, bahawa walau sekecil mana pergerakan kita sebenarnya kita menggerakkan keseluruhan tubuh kita. Gerakan kecil pun membuatkan saya mengerang kesakitan. Subhanallah.

Benarlah sabda Rasulullah saw: "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara; masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum datangnya waktu sempit, masa lapang sebelum datangnya waktu sibuk, masa muda sebelum sampainya waktu tua dan masa hidup sebelum sampainya waktu mati" (Riwayat al-Hakim dan Al-Baihaqi).

Doktor yang biasa memeriksa saya membuat beberapa kali ujian tekanan darah. Mungkin kerana tekanan darah saya selalunya 'cantik' dan beliau ingin benar-benar pasti. Akhirnya beliau bertanya; "Puan stress ke? Suami puan buat hal ke?" Saya dan suami tergelak besar. Rasanya tak ada apa yang berlaku; yang boleh menyebabkan tekanan darah saya naik tinggi sebegitu rupa. Kemungkinan besar adalah asbab pemakanan dan cara hidup saya yang tidak sihat.

Biasanya kami bangun awal pagi untuk menunaikan 'temujanji' dengan Maha Pencipta dan kemudiannya bersiap-siap untuk mulakan hari baru. Keluar rumah waktu gelap hari lagi; sebaik menghantar anak naik bas sekolah, agar tidak sampai merah punch card. Balik kerja mengikut waktu pejabat, menghadapi keadaan trafik yang sesak dan sampai di rumah apabila azan maghrib berkumandang. Bersiap untuk solat dan menyediakan makan malam yang ringkas atau makan saja di luar. Kemudian, solat isya' dan menyediakan persiapan untuk mula hari berikutnya. Itulah rutin harian saya. Setiap hari 'berniat' untuk membuat senaman ringan namun berakhir di atas katil seawal jam 10.30 malam. Hujung minggu pula sibuk mengemas rumah dan membuat lain-lain persiapan untuk minggu yang mendatang, ziarah anak-anak di asrama dan lain-lain tanggungjawab sosial. 

Saya percaya rutin harian saya sama dengan rata-rata ibu-ibu yang bekerja. Malah mungkin juga sama dengan kebanyakan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Ianya sangat tidak sihat. Kita tinggal di kawasan yang jauh dari tempat kita bekerja kerana kosnya lebih rendah. Kita menghabiskan sebahagian besar masa kita di atas jalan dalam tekanan menghadapi kesesakan jalanraya. Kita cenderung makan di luar atau mengambil makanan segera yang berproses kerana perlu cepat menyediakan hidangan. Macam mana tekanan darah tak naik, kan? Astaghfirullah al-'azhim.

Saya noktah di sini dulu.




No comments:

Post a Comment