Sunday 14 February 2016

PULANG: DULU DAN SEKARANG

Entri 7

Teks : Neng Narashimah binti Ja'afar
Foto : Ihsan TBS


Selamat Sejahtera!

Cuti perayaan Tahun Baru Cina baru saja berakhir. Anak-anak juga telah memulakan sessi persekolahan masing-masing mulai Ahad ini (bagi negeri-negeri Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah) dan Isnin (bagi negeri-negeri selain yang dinyatakan sebelum ini). Ibu bapa sibuk membuat urusan penghantaran anak-anak pulang ke asrama dan kolej / universiti; sama ada hari Sabtu atau pun Ahad. Ada yang mengambil cuti atau meluangkan masa untuk menghantar sendiri, pulang dengan memandu sendiri (bagi yang bergelar siswa/i) dan tidak kurang juga yang menggunakan pengangkutan awam; bas, keretapi mahu pun kapal terbang.

Perkhidmatan membeli tiket online, seperti BusOnlineTicket.com dan easybook.com tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Beli tiket online biasanya ada diskaun dan ada banyak pilihan. Pilih jenis kenderaan dan tempat duduk, harga tiket dibayar secara online. Kemudian, hadir ke kaunter pada hari berangkat ke destinasi bagi tujuan mendapatkan tiket bercetak dari pengusaha bas ekspress atau lain-lain pengusaha pengangkutan. Mudah saja.

Berbeza dengan zaman ketika saya bergelar siswa pada tahun-tahun akhir 80an dan awal 90an. Pada waktu ini hanya yang mampu saja akan menaiki pesawat udara. Kalau nak balik ke Pantai Timur; perlu beratur  panjang di Hentian Putra. Jadi kena tolong menolong; bagi yang tak ada kelas atau kuliah akan datang seawal subuh untuk mula beratur, kemudian beralih pula kepada rakan yang ada waktu senggang antara kuliah dan pasangan pertama beratur akan pulang dan hadir kuliah. Begitulah seterusnya sehinggalah tiket berjaya dibeli. Kuliah tak tuang dan tiket dapat; boleh pulang melepaskan rindu pada keluarga. Ibu bapa tak ambil pusing cara mana kita nak balik, yang pasti sampai masa yang dijanjikan; sampailah kita di hadapan pintu rumah. Sekarang sudah banyak mudahnya. Alhamdulillah.

Saya berkahwin ketika masih dalam pengajian. Suami tinggal di Johor Bahru. Hampir setiap minggu saya menggunakan perkhidmatan bas ekspress dari Hentian Puduraya. Balik pada hari Jumaat malam dan pulang semula untuk kuliah pada subuh Isnin. Biasanya bas sampai dari Johor Bahru - Kuala Lumpur pada jam 4.30 pagi. Sebaik sampai di Puduraya, beli akhbar dan bentang di tepi-tepi kedai yang masih belum beroperasi; tumpang melelapkan mata. Sekitar jam 5.30 pagi, saya akan mula bergerak ke Perhentian Bas Kelang (yang tidak pun berada di Klang), menunggu bas mini menuju ke universiti. Ini menjadi rutin saya sehinggalah saya berbadan dua. Susah tapi indah... Subhanallah.

Kini kedua-dua Hentian Bas Puduraya dan Hentian Bas Putra tidak lagi beroperasi sebagai hentian bas antara negeri. Malah semua perkhidmatan pengangkutan awam bagi perjalanan jarak jauh atau antara negeri beroperasi di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) yang mempunyai kemudahan yang lebih moden, teratur dan sistematik bagi menjanjikan keselesaan. Merujuk kepada Laman Web TBS;  Terminal ini dibuka kepada orang ramai pada 1 Januari 2011 dengan rangkaian perkhidmatan awam KLIA Transit, KTM Komuter dan LRT RapidKL, hab pengangkutan awam berintegrasi yang pertama di Kuala Lumpur. Terminal Bersepadu Selatan juga merupakan sebahagian daripada inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara dalam menambah baik pengangkutan awam bandar yang akan membantu meningkatkan bilangan penumpang pengangkutan awam dengan memudahkan tempahan e-tiket dan sistem pembelian tiket bersepadu (CTS)

Baiklah. Saya noktah di sini dulu. In-sya Allah.


No comments:

Post a Comment