Wednesday 10 February 2016

LEPAS TU...?

Entri 6

Teks : Neng Narashimah binti Ja'afar
Foto : Ihsan Google


Salam Sejahtera!

Merujuk kepada entri saya terdahulu, saya mula membuat carian demi carian dalam 'usaha' menstabilkan semula tekanan darah saya dan seterusnya mengekalkan rekod 'cantik' bacaannya. Banyak laman web yang saya singgah namun yang betul-betul mengesankan adalah sususejat.com yang menggariskan 5 langkah  bagi menurunkan tekanan darah tinggi dan kevinzahri.com yang menggariskan 7 langkah bagi mengurangkan tekanan darah tinggi. 'Menurunkan' dan 'Mengurangkan' membawa makna yang sama. Langkah-langkah yang digariskan juga tidak jauh berbeza. Sama juga dengan maklumat yang saya sedia tahu dan sedar. Ya, pastinya ia akan menggariskan perkara-perkara berikut;

1)   Bersenam.
2)   Kawal pengambilan diet.
3)   Kurangkan berat badan.
4)   Amalkan cara hidup sihat.
5)   Kerap lakukan pemeriksaan kesihatan.

Saya percaya anda juga tahu akan maklumat ini; sama seperti saya. Namun, perkara yang paling sukar untuk kita lakukan adalah 'mengubah' rutin harian kita. 'Mengubah rutin harian' bermaksud menukar gaya hidup dan aktiviti harian yang telah kita lakukan secara tetap sejak zaman berzaman. Saya kira inilah yang paling susah. Dalam terma sosiologi, ia dipanggil 'barrier to change'; halangan untuk kita untuk berubah. Namun, Allah swt jelas menyebut tentang pentingnya perubahan yang positif dilakukan dalam hidup, sebagaimana firmanNya:

"..... Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya, dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka, selain Dia (Allah Azza wa Jalla)" (Surah Al-Ra'd 13:11)

Allah swt jelas memberi kita ruang untuk mengubah dan memperbaiki diri kita sendiri dengan segala usaha yang ada. Namun, seandainya Allah swt sebagai Al-Khalliq ingin berkehendakkan keburukan juga ke atas kita, maka kita sebagai makhlukNya, tidak akan mampu menolaknya. Sesungguhnya Dia lah sebaik-baik tempat untuk meminta perlindungan, juga pertolongan. HasbunaLlahu wa ni'mal Wakil, ni'mal Mawla wa ni'manNasir.

Saya noktah di sini dulu.



No comments:

Post a Comment