Wednesday 6 January 2016

SUSUN DAN SUSUN SEMULA

Entri 3

Teks : Neng Narashimah Ja'afar
Foto : Ihsan Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR)


Salam Sejahtera!

Minggu ini sibuk sekali. Minggu transisi. Minggu di mana kita menyusun jadual kehidupan kita setiap hari bagi tahun 2016 ini; dari celik mata sehingga kita menutupkan mata apabila hari berakhir, dan celik semula; bertemu dengan hari yang baru. Selagi mana Allah mengizinkan kita untuk bertemu dengan hari yang baru. Ma shaa Allah.

Susunan jadual kehidupan yang kita susun di awal tahun ini akan menentukan rutin perjalanan kehidupan kita sehingga tahun 2016 melabuhkan tirainya nanti. Jika minggu-minggu pertama ini kita tidak mula menyusun dengan sebaiknya, maka akan berkelabut, kelam kelibut, haru biru, huru hara rutin perjalanan kehidupan kita sepanjang tahun nanti. Apatah lagi  bagi yang bukan saja menyusun rutin hidupnya sendiri, tetapi rutin suami dan anak-anak juga berada 'di atas batu jemala patik'.

Selain menyusun jadual perjalanan kehidupan yang akhirnya menjadi rutin kehidupan harian kita, kita juga perlulah menyusun belanjawan kita bagi tahun 2016; yang dengarnya sangat mencabar. Semua lapisan masyarakat memperkatakan isu yang sama; harga barang naik, nilai gaji semakin mengecil, keupayaan membeli semakin berkurangan, dan lain-lain. Kaedah yang disarankan oleh pakar ekonomi senang saja; kurangkan belanja atau tambahkan pendapatan Itu saja. Bunyinya mudah tapi pelaksanaannya belum tentu semudah yang didengar.

Yang pertama; kurangkan belanja. Sebelum kita nak kurangkan belanja, kita kenalah senaraikan apakah dan berapakah perbelanjaan kita sedia ada; butiran yang selengkap mungkin. Senaraikan juga keperluan yang bakal kita perlukan. Sebagai contoh; kalau dulu anak belum bersekolah atau masih bersekolah rendah, tapi tahun ini anak tersebut dah bersekolah atau sudah naik ke peringkat menengah, yang menengah akan menyambung pengajian di peringkat universiti, yang dulu kita hantar ke sekolah tapi tahun ini anak tersebut akan naik bas sekolah, atau lain-lain perkara yang kita jangkakan akan melibatkan kos. Senaraikan semuanya. Lebih lengkap lebih bagus.

Kemudian, barulah kita boleh menilai semula perbelanjaan kita; yang mana kita boleh buat sendiri, tidak menggunakannya atau mungkin  menukar jenama. Pendek kata, kita perlu menilai semula perbelanjaan sedia ada kita dan perbelanjaan yang bakal kita perlukan. Proses penilaian semula ini amat memeritkan bagi kita. Secara jujurnya; saya berminggu-minggu merenung senarai yang sama. Hilang arah yang mana perlu dibuang dari senarai dan yang mana lebih penting untuk disenaraikan. Kerapkali senarai perbelanjaan yang bakal diperlukan lebih banyak dari senarai yang boleh dikeluarkan. Namun, tidak boleh tidak; kita tiada pilihan selain dari melalui proses ini saban tahun. Kita perlu menilai semula perbelanjaan kita bukanlah hanya kerana kita perlukan lebih aliran tunai  untuk berbelanja dan meneruskan kelangsungan hidup tetapi kerana kita perlu menabung. Malah beberapa sahabat yang berada dalam bidang ekonomi menyarankan supaya kita menyisihkan pendapatan kita kepada sekurang-kurangnya kepada 6 akaun;

1) Akaun Bebas Hutang       - 10%
2) Akaun Jangka Panjang    - 10%
3) Akaun Keperluan Diri     - 55%
4) Akaun Pendidikan           - 10%
5) Akaun Self-Reward         - 10%
6) Akaun Kebajikan             - 5%

Yang kedua; tambahkan pendapatan. Bahagian yang ini saya memang tidak mahir. Setelah berpuluh-puluh tahun makan gaji, kita akhirnya tidak kreatif untuk mencari kaedah untuk menambah pendapatan. Kerana itulah saya menyertai Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR); sebagai kumpulan sokongan dalam usaha untuk menambah pendapatan. Walau bagaimanapun, saya masih terlalu 'muda' untuk memberikan komen berkenaan Akademi ini. Namun begitu, saya percaya akan keberkesanan kumpulan ini dalam memberi impak positif kepada ahi-ahlinya. Pada saya; formula yang paling penting adalah USAHA. Sesungguhnya Allah lah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tidak kita ketahui. Saya noktah dulu.

Rabbi Yassir wa la Tu'assir, Rabbi Atmim bil Khayr.




No comments:

Post a Comment