Showing posts with label catatan pengalaman. Show all posts
Showing posts with label catatan pengalaman. Show all posts

Wednesday, 6 January 2016

SUSUN DAN SUSUN SEMULA

Entri 3

Teks : Neng Narashimah Ja'afar
Foto : Ihsan Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR)


Salam Sejahtera!

Minggu ini sibuk sekali. Minggu transisi. Minggu di mana kita menyusun jadual kehidupan kita setiap hari bagi tahun 2016 ini; dari celik mata sehingga kita menutupkan mata apabila hari berakhir, dan celik semula; bertemu dengan hari yang baru. Selagi mana Allah mengizinkan kita untuk bertemu dengan hari yang baru. Ma shaa Allah.

Susunan jadual kehidupan yang kita susun di awal tahun ini akan menentukan rutin perjalanan kehidupan kita sehingga tahun 2016 melabuhkan tirainya nanti. Jika minggu-minggu pertama ini kita tidak mula menyusun dengan sebaiknya, maka akan berkelabut, kelam kelibut, haru biru, huru hara rutin perjalanan kehidupan kita sepanjang tahun nanti. Apatah lagi  bagi yang bukan saja menyusun rutin hidupnya sendiri, tetapi rutin suami dan anak-anak juga berada 'di atas batu jemala patik'.

Selain menyusun jadual perjalanan kehidupan yang akhirnya menjadi rutin kehidupan harian kita, kita juga perlulah menyusun belanjawan kita bagi tahun 2016; yang dengarnya sangat mencabar. Semua lapisan masyarakat memperkatakan isu yang sama; harga barang naik, nilai gaji semakin mengecil, keupayaan membeli semakin berkurangan, dan lain-lain. Kaedah yang disarankan oleh pakar ekonomi senang saja; kurangkan belanja atau tambahkan pendapatan Itu saja. Bunyinya mudah tapi pelaksanaannya belum tentu semudah yang didengar.

Yang pertama; kurangkan belanja. Sebelum kita nak kurangkan belanja, kita kenalah senaraikan apakah dan berapakah perbelanjaan kita sedia ada; butiran yang selengkap mungkin. Senaraikan juga keperluan yang bakal kita perlukan. Sebagai contoh; kalau dulu anak belum bersekolah atau masih bersekolah rendah, tapi tahun ini anak tersebut dah bersekolah atau sudah naik ke peringkat menengah, yang menengah akan menyambung pengajian di peringkat universiti, yang dulu kita hantar ke sekolah tapi tahun ini anak tersebut akan naik bas sekolah, atau lain-lain perkara yang kita jangkakan akan melibatkan kos. Senaraikan semuanya. Lebih lengkap lebih bagus.

Kemudian, barulah kita boleh menilai semula perbelanjaan kita; yang mana kita boleh buat sendiri, tidak menggunakannya atau mungkin  menukar jenama. Pendek kata, kita perlu menilai semula perbelanjaan sedia ada kita dan perbelanjaan yang bakal kita perlukan. Proses penilaian semula ini amat memeritkan bagi kita. Secara jujurnya; saya berminggu-minggu merenung senarai yang sama. Hilang arah yang mana perlu dibuang dari senarai dan yang mana lebih penting untuk disenaraikan. Kerapkali senarai perbelanjaan yang bakal diperlukan lebih banyak dari senarai yang boleh dikeluarkan. Namun, tidak boleh tidak; kita tiada pilihan selain dari melalui proses ini saban tahun. Kita perlu menilai semula perbelanjaan kita bukanlah hanya kerana kita perlukan lebih aliran tunai  untuk berbelanja dan meneruskan kelangsungan hidup tetapi kerana kita perlu menabung. Malah beberapa sahabat yang berada dalam bidang ekonomi menyarankan supaya kita menyisihkan pendapatan kita kepada sekurang-kurangnya kepada 6 akaun;

1) Akaun Bebas Hutang       - 10%
2) Akaun Jangka Panjang    - 10%
3) Akaun Keperluan Diri     - 55%
4) Akaun Pendidikan           - 10%
5) Akaun Self-Reward         - 10%
6) Akaun Kebajikan             - 5%

Yang kedua; tambahkan pendapatan. Bahagian yang ini saya memang tidak mahir. Setelah berpuluh-puluh tahun makan gaji, kita akhirnya tidak kreatif untuk mencari kaedah untuk menambah pendapatan. Kerana itulah saya menyertai Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR); sebagai kumpulan sokongan dalam usaha untuk menambah pendapatan. Walau bagaimanapun, saya masih terlalu 'muda' untuk memberikan komen berkenaan Akademi ini. Namun begitu, saya percaya akan keberkesanan kumpulan ini dalam memberi impak positif kepada ahi-ahlinya. Pada saya; formula yang paling penting adalah USAHA. Sesungguhnya Allah lah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tidak kita ketahui. Saya noktah dulu.

Rabbi Yassir wa la Tu'assir, Rabbi Atmim bil Khayr.




Saturday, 2 January 2016

SESSI PERSEKOLAHAN 2016 PUN BERMULA....



Entri 2

Teks : Neng Narashimah Jaafar
Foto : Ihsan Google


Salam Sejahtera!

Sessi persekolahan tahun 2016 bagi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor telah pun bermula hari ini. Semalam masing-masing sibuk membuat persediaan akhir sebelum sessi persekolahan bermula. Ibu bapa juga sibuk menghantar anak-anak pulang ke asrama; bagi yang tinggal di asrama. Alhamdulillah.



Saya menjenguk anak sulung di biliknya; bertanyakan dah siap menyimpan ke? Semua barang yang perlu dibawa dah siap disimpan dalam beg ke? Barang siapa lagi yang masih bersepah? Kenapa tidak dikemaskan? Akhir sekali, pengakuan rasmi dibuat. "Sunyi pulak adik-adik tak ada. Esok abang pula balik ke universiti. Tinggal lah ibu, ayah dan adik. Mesti lebih sunyi dari biasa" Abang hanya tersenyum sumbing. Subhanallah!

Jadi, pagi ni kami ke Terminal Bas untuk menghantar anak saya yang sulung. Adik yang bersekolah rendah dah pun naik bas sekolah jam 6.30 pagi tadi. Petang ni balik dari pejabat; mesti terdengar-dengar suara anak-anak yang kuat bergurau, terpekik-pekik mengusik dan diusik. 68 hari. Dan, saya sudah mula mengira hari untuk cuti sekolah yang akan datang. Moga tahun ini lebih baik dari tahun yang lalu. In-sya Allah. Saya noktah dulu.




Wednesday, 30 December 2015

KENAL TAK?



Entri 1
Teks: Neng Narashimah Ja'afar
Foto: Ihsan Google


Lama betul saya berfikir. Bagaimana harus saya mula? Benarlah kata bijak pandai; persoalan yang paling sukar dijawab adalah "Siapakah saya?". Hmmm..... Mungkin saya boleh mula di sini, seperti berikut:

Nama saya Neng Narashimah Ja'afar.
Saya seringkali meninggalkan 'binti' kerana bagi saya kalimah itu hanya akan memanjangkan lagi nama saya yang sudah sedia panjang. Saya juga sering memperkenalkan diri saya sebagai 'Neng Ja'afar'; supaya kedengaran lebih pendek. Namun, rakan-rakan yang mengenali diri saya lebih mengingati nama saya sebagai nama yang panjang; mungkin kerana ianya agak pelik dan mudah diingat. Hanya saya saja yang merasakan pendengar sukar menyebut dan mengingat nama saya. Dan sesungguhnya Allah sahaja lah yang Maha Mengetahui

Saya adalah seorang pemegang Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Ijazah Sarjana Sains Perpustakaan dan Maklumat. Kini sedang berkhidmat sebagai seorang Pustakawan. Namun sebagai seorang isteri dan ibu kepada 4 orang cahayamata; saya tetap bercita-cita untuk menjadi seorang 'suri' yang tinggal dan berkhidmat di 'rumah'nya secara 'sepenuh masa'. Saya kira 'profesion' inilah yang paling 'sesuai' , 'layak', malah pasti juga yang paling 'barakah' bagi seorang wanita, apatah lagi bagi yang berstatus 'suri'.

Saya suka membaca. Apa saja bahan bacaan dan apa saja genre yang ada. Alhamdulillah, saya boleh membaca dalam 3 bahasa; Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Saya juga boleh menulis dalam ketiga-tiga bahasa tersebut walaupun dalam peringkat kemahiran yang berbeza. Oleh itu, saya punya lebih banyak pilihan bahan bacaan. Suatu masa dulu, ibu pernah melarang menggunakan kertas suratkhabar untuk dijadikan alas menghidang makanan. Ini kerana saya kerap leka dan menghabiskan masa makan saya dengan membaca. Akibatnya, masa makan saya menjadi lebih panjang, saya tidak berinteraksi dengan ahli keluarga yang lain dan tenggelam dalam dunia saya.  Saya menggemari bahan bacaan berbahasa Inggeris. Mungkin kerana ianya lebih 'direct' dan 'straight to the point'. Saya juga sukakan keindahan Bahasa Arab yang lebih 'kaya' gaya bahasanya dan lebih jelas serta 'ta'kid' dalam menggambarkan maksud seseorang penulis. Namun, saya lebih selesa dengan bahan bacaan Bahasa Melayu yang lebih indah, lembut, berhalus serta puitis gaya bahasa dan penyampaiannya.

Setakat itu sahaja. Saya berasa sangat sukar untuk meneruskannya. Saya juga sukar mengolahnya.
...

Setelah saya memaksa diri saya untuk mula menulis, baru saya sedar. Saya sebenarnya tidak yakin untuk memperkenalkan diri sendiri. Ini kerana saya berasa kurang selesa apabila ada terlalu banyak 'saya' dalam entri ini.  Malah 'saya' yang sedang saya tulis ini rupanya agak asing bagi diri saya sendiri. Mungkin kerana saya tidak pernah memberikan fokus kepada 'saya'. Saya, sebagai seorang manusia yang lemah; lebih suka, cenderung dan kerap memberi fokus saya kepada orang lain dan personaliti mereka sehingga saya lupa untuk memberi fokus dan melihat diri dan personaliti saya sendiri.

Ustaz saya dulu pernah berkata; "Kenali Pencipta kita untuk mengenali diri kita". Maksudnya? Ya.
Maksudnya saya belum cukup mengenali Pencipta saya, kerana itu saya masih belum mengenali diri saya. Apabila saya tidak mengenali diri saya, maka saya sukar dan tidak yakin untuk memperkenalkan diri saya yang cukup hina dan dhaif di mata Sang Pencipta. Maha Suci Allah yang Maha Mencipta.

Segala Puji bagi Allah, Pencipta Sekelian Alam. Ini adalah permulaan yang baik untuk diri saya. Saya noktah dulu.